-
Jumaat 8 Februari, 2002
Lihat isu pakai tudung dari sudut keharusan
SHAMSUDDIN MONER
Saudara Pengarang,
TINDAKAN pihak kementerian Pendidikan Singapura menggantung persekolahan dua
orang murid beragama Islam di negara berkenaan telah menarik perhatian
pelbagai pihak di negara ini.
Kebanyakan pandangan mempersoalkan tindakan berkenaan kerana dikatakan
bercanggah dengan Artikel 15 Perlembagaan Singapura yang memberi hak dan
kebebasan beragama kepada setiap rakyat, dan Artikel 16 yang menyatakan
bahawa tiada sesiapapun yang boleh menghalang mana-mana warga negara
daripada mendapatkan pelajaran atas sebab bangsa atau agama.
Jika kita membicarakan persoalan undang-undang dan hak asasi manusia
memanglah murid-murid Islam yang digantung persekolahan itu berhak untuk
memakai tudung ke sekolah.
Tetapi kita harus faham dengan keadaan semasa yang berlaku di Singapura
baru-baru ini sehingga tertangkapnya beberapa orang kumpulan militan yang
terdiri daripada orang Islam di bawah Akta ISA negara berkenaan kerana cuba
untuk melakukan keganasan.
Imej buruk yang dipalitkan oleh segelintir umat Islam seperti kumpulan
militan ini yang dikaitkan dengan pengganas antarabangsa Al-Qaeda telah
mengakibatkan pemerintah Singapura memandang serong terhadap orang Islam.
Sebelum daripada ini, Kementerian Pendidikan Singapura tidak menghalang
murid-murid perempuan Islam daripada memakai tudung ke sekolah. Kenapa
larangan ini tiba-tiba muncul sekarang? Sepatutnya kita sebagai orang Islam
di negara ini dan juga di negara berkenaan haruslah mengambil iktibar dengan
suasana terbaru yang berlaku di rantau ini.
Dalam keadaan seperti sekarang, saya berpendapat bahawa keluarga yang
terlibat dengan penggantungan persekolahan anak-anak mereka di republik
berkenaan agar mencari jalan penyelesaian secara diplomasi.
Kita tidak perlu berkonfrontasi dengan pemerintah kerajaan Singapura hanya
kerana larangan memakai tudung yang hanya melibatkan dua tiga orang murid.
Memanglah menutup kepala itu wajib bagi setiap wanita muslim, tetapi
sedarkah kanak-kanak berkenaan baru berusia tujuh tahun dan masih belum
mencapai umur baligh.
Dalam suasana dan keadaan sekarang, harus bagi kanak-kanak berkenaan
menangguhkan pemakaian tudung kepala buat sementara atas dasar keselamatan
dan demi menjaga kepentingan diri untuk mendapatkan ilmu secara aman dan
mengelakkan diri daripada penindasan.
Mana lebih penting, antara memastikan anak-anak terus mendapat pelajaran dan
ilmu pengetahuan secara aman dengan mengekalkan pemakaian tudung kepala,
yang akibatnya kanak-kanak tersebut terpaksa menderita dengan tekanan emosi
dan psikologi disebabkan mengalami kesukaran di alam persekolahan.
Islam lebih bersikap sederhana dan lebih mementingkan kepada maslahah dan
juga keselamatan diri. Sebagai contohnya, umat Islam diharuskan untuk
menangguhkan ibadat haji ke Mekah di musim haji sekiranya pada ketika itu
berlaku huru-hara dan tidak aman di dalam perjalanan.
Walaupun menunaikan haji ini merupakan fardu di dalam Islam, tetapi ia boleh
ditangguhkan atas sebab-sebab keselamatan.
Semasa berlakunya Perjanjian Hudaibiah antara Rasulullah s.a.w dengan puak
musyrikin Mekah, sewaktu hendak menandatangani perjanjian bertulis, baginda
terpaksa menggugurkan perkataan Rasulullah pada cop mohornya di atas
kehendak musyrikin Mekah kerana mereka hanya mengiktiraf baginda sebagai
`Muhammad' dan tidak sebagai `Rasulullah'.
Dengan pengguguran gelaran `Rasulullah' pada cop mohor berkenaan bukanlah
bermakna bahawa Nabi Muhammad mengaku kalah. Ini dibuat semata-mata kerana
maslahah dan siasah.
Sama juga dengan tindakan Rasulullah yang tidak mahu menerima seorang
sahabat yang telah berjaya lari dari menjadi tebusan puak musyrikin di Mekah
untuk kembali ke Madinah bagi mendapatkan perlindungan.
Sebaliknya Rasulullah telah mengarahkan sahabat tersebut untuk menyerah diri
semula kepada puak musyrikin Mekah demi untuk menjaga hubungan baik antara
penduduk Islam Madinah dan juga kaum musyrikin Mekah. Ini bagi menghormati
Perjanjian Hudaibiah yang telah ditandatangani.
Rasulullah terpaksa mengorbankan keselamatan seorang sahabat demi untuk
menjaga beribu-ribu umat Islam yang lain di Madinah daripada diperangi oleh
puak musyrikin Mekah.
- SHAMSUDDIN MONER, Presiden, Permuafakatan Putera
Islam Malaysia (PUTERA), Kuala Lumpur.
Sumber : Utusan Online Jumaat 8 Februari, 2002
Laman Utama